KUALA LUMPUR, 22 Ogos - Seorang pengasuh taska dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan cuai sehingga menyebabkan kematian seorang bayi lelaki pada Mei lalu.
Tertuduh, Nor Fatihah Abdul Rahim, 24, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Shakirah Mohtarudin.
Mengikut pertuduhan, beliau didakwa gagal menyediakan pengawasan dan pemeliharaan berpatutan sehingga mengakibatkan kematian bayi berusia tujuh bulan sembilan hari di sebuah taska di Wangsa Maju pada 26 Mei lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 33(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Nidzuwan Abd Latip tidak mencadangkan jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin, namun mahkamah membenarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan. Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 29 September ini.
Bedah siasat di Hospital Kuala Lumpur sebelum ini mengesahkan bayi berkenaan meninggal dunia akibat sesak nafas (asfiksia) kerana tersedak makanan dan susu.