BANDARAYA MELAKA, 22 Ogos – Lebih 15 jenis produk farmaseutikal yang tidak berdaftar dan mengandungi racun berjadual dirampas Jabatan Kesihatan Negeri Melaka dalam Ops PET yang dilaksanakan pada 31 Julai lalu.
Pengarah Kesihatan Melaka, Dr Ruzita Mustaffa, berkata serbuan dilakukan di sebuah gedung sekitar Bandaraya Melaka dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan hampir RM150,000.
“Gedung berkenaan dikenalpasti sebagai lokasi penyimpanan dan pengedaran produk terbabit,” katanya.
“Kesemua produk itu dipercayai dijual secara dalam talian melalui platform e-dagang dan media sosial.”
“Produk yang dirampas termasuk ubat veterinar tidak berdaftar serta kosmetik yang tidak bernotifikasi,” tambah beliau.
Selain itu, turut dirampas adalah produk yang mengandungi racun berjadual seperti antibiotik, ubat tahan sakit, dan pelbagai racun lain yang disenaraikan di bawah Jadual Pertama Akta Racun 1952.
Kes disiasat mengikut Akta Jualan Dadah 1952.
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membeli ubat atau kosmetik sewenang-wenangnya melalui media sosial.
Status pendaftaran sesuatu produk boleh disemak melalui laman sesawang rasmi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia.