fb fb fb fb fb

Dua penunggang motosikal maut dalam dua kemalangan berasingan di Terengganu

Kedua-dua mangsa dalam perjalanan menyertai Program RXZ Members 7.0

DUNGUN, 22 Ogos – Dua penunggang motosikal jenis Yamaha RXZ maut dalam dua kemalangan berasingan di Lebuhraya Pantai Timur Dua (LPT2) berhampiran Bukit Besi, Dungun dan Ajil, Hulu Terengganu.

Difahamkan, kedua-dua mangsa dalam perjalanan untuk menyertai Program RXZ Members 7.0 yang berlangsung di Litar Permotoran Gong Badak, Terengganu.

Dalam kejadian di Dungun, mangsa, Hariz Fahmi Shaizuren Amin, dari Selangor, maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Maizura Abdul Kadir, ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

“Motosikal yang ditungganginya dikatakan bergesel dengan sebuah motosikal lain, menyebabkan motosikal mangsa terbalik,” katanya.

Sementara itu, dalam kejadian kedua, seorang jururawat maut selepas motosikal yang ditungganginya terbabit dalam kemalangan di Kilometer 394 LPT2, berhampiran Ajil, Hulu Terengganu.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintendan Sharudin Abdul Wahab, berkata mangsa, Roslinawati Ramli, dari Johor, maut di lokasi kejadian.

“Sebelum kejadian, mangsa bergerak secara konvoi bersama 13 buah motosikal lain,” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk proses bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

 

 

 

HASRON BIN HASSAN