BUTTERWORTH, 22 Ogos – Seorang lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Seksyen Butterworth atas pertuduhan penyelewengan diesel.
Tertuduh, Neoh Ewe Kean, 62 tahun, dijatuhi hukuman denda sebanyak RM130,000 oleh Hakim Nor Azah Kasran.
Mengikut kertas pertuduhan, Neoh Ewe Kean didapati telah menyeleweng sebanyak 46,003 liter minyak diesel di sebuah premis di Permatang Pauh, antara 24 Ogos hingga 20 November 2023.
Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, kerana melanggar Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 (Pindaan 2021).
Kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang, Alsad Nasrullah dan Mohd Hilmi Abu Hassan, manakala tertuduh diwakili peguam A. Premanand.
KPDN dalam kenyataan turut menasihatkan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi agar menyalurkan aduan dengan segera kepada pihak berkuasa.