fb fb fb fb fb

Layan penagih sebagai pesakit, bukan penjenayah - Lee Lam Thye

Pindaan Akta Penagih dan Penyalah Guna Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) 1983 / Foto

KUALA LUMPUR, 23 Ogos - Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat menggesa supaya pendekatan lebih berperikemanusiaan dan berasaskan bukti dalam menangani penagihan dadah, dengan menekankan bahawa mereka yang terjebak perlu dilayan sebagai pesakit dan bukannya penjenayah.

Mengulas mengenai pindaan undang-undang berkaitan dadah yang berkuat kuasa semalam, Pengerusi pertubuhan itu Tan Sri Lee Lam Thye berkata ketagihan dadah pada asasnya ialah isu kesihatan dan mesti ditangani secara pragmatik melalui rawatan dan pemulihan.

“Sudah terlalu lama penagih dadah dilayan sebagai penjenayah sedangkan hakikatnya, ramai daripada mereka bergelut dengan penyakit yang memerlukan rawatan dan bukan hukuman,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pindaan Akta Penagih dan Penyalah Guna Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) 1983 yang berkuat kuasa semalam, memfokuskan rawatan dan pemulihan serta memperluas peranan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Tan Sri Lee menegaskan penagih dadah hanya perlu menghadapi pertuduhan jenayah jika mereka melakukan kesalahan.

Beliau berkata hukuman pemenjaraan sering memburukkan keadaan dengan mendorong penagih untuk lebih terjerumus ke dalam kitaran ketagihan dan stigma, tanpa menangani punca sebenar masalah itu. - BERNAMA

HASRON BIN HASSAN