IPOH, 2 September - Seorang pengarah syarikat pasar mini mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh atas pertuduhan menjual minyak masak botol melebihi harga kawalan, pada April tahun lalu.
Tertuduh, J Shanker membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.
Mengikut pertuduhan, tertuduh 43 tahun, sebagai Pengarah Syarikat Mini Market Desa Rishah Sdn Bhd dituduh menjual atau menawarkan untuk menjual barangan harga terkawal iaitu minyak masak botol 2 kilogram (kg) selain mengikut harga yang ditentukan oleh Pengawal di bawah Seksyen 4, 5 atau 7 Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan 2011.
Tertuduh didapati melakukan perbuatan tersebut di No 1 dan 3, Jalan Klebang Ria 3, Taman Klebang Ria, Chemor Ipoh pada pukul 12.30 tengah hari pada 17 April 2024.
Perbuatan itu merupakan kesalahan di bawah Seksyen 11 Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan 2011 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 18 (b) Akta yang sama.
Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kali yang kedua atau berikutnya, denda tidak melebihi RM200,000 atau dipenjarakan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
Hakim kemudiannya menetapkan hukuman denda RM5,000 dengan seorang penjamin atau penjara selama lima hari jika gagal membayar denda berkenaan.
Mahkamah turut memerintahkan agar wang jualan 47 botol minyak masak yang dirampas sebanyak RM485.85 sen dilucuthak kepada kerajaan Malaysia.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, N Shamani manakala tertuduh diwakili peguam, Ahmad Shamil Azad Abdul Hamid.