HULU SELANGOR, 2 September – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memperkukuh kawalan keselamatan melibatkan pemimpin negara termasuk Sultan dan Ketua Negeri, susulan insiden cubaan seorang wanita tempatan menyerang Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah pada sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perak, Ahad lalu.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, langkah itu meliputi penambahbaikan tugasan pengiring keselamatan termasuk penyertaan kursus 'bodyguarding' serta penerapan elemen Unit Tindakhas dan komando.
“Semua ini bagi memastikan penugasan pegawai yang mengiringi pihak istana dan kerajaan negeri diperkemas serta lebih berkesan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Program Diploma Kepolisan (MQA) dan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (JPK) PDRM di Maktab PDRM Kuala Kubu Bharu, hari ini.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan PDRM turut menghantar pegawai ke Thailand bagi menjalankan siasatan lanjut berhubung penahanan seorang rakyat Malaysia bersama beberapa laras raifal dan peluru di Sadao, Songkhla, Sabtu lalu.
Menurutnya, suspek berusia lingkungan 30-an itu masih ditahan pihak berkuasa Thailand, dan siasatan bersama akan dilakukan bagi mengenal pasti sama ada senjata terbabit cuba diseludup masuk ke Malaysia.