fb fb fb fb fb

Saya tidak terima wang rasuah RM2.8 juta - Bung Moktar

Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin hadir ke Mahkamah Sesyen hari ini bagi prosiding perbicaraan membela diri atas tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 2 September - Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini bahawa beliau tidak menerima wang rasuah RM2.8 juta secara langsung atau tidak langsung daripada dua ejen pelaburan Public Mutual Berhad berhubung pelaburan RM150 juta dalam unit amanah itu.

Bung Moktar, 65, berkata tiada mana-mana saksi pendakwaan menunjukkan rakaman video, gambar atau perbualan direkodkan berhubung dengan penerimaan wang oleh beliau.

"Tiada sebarang bukti menunjukkan pembayaran daripada dua ejen pelaburan yang merupakan saksi pendakwaan ke-24 (Madhi Abdul Hamid) dan saksi pendakwaan ke-25 (Norhaili Ahmad Mokhtar) kepada saya. Saya pun tidak terima apa-apa wang daripada mereka," katanya.

Beliau berkata demikian semasa membacakan pernyataan saksi pada prosiding perbicaraan membela diri Ahli Parlimen Kinabatangan itu dan isterinya Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad atas tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta.

Selain itu, Bung Moktar berkata beliau tidak langsung mendorong Menteri Kewangan II ketika itu (Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah) untuk mendapatkan kelulusan bagi Felcra Berhad membuat pelaburan sebanyak RM150 juta bagi menyertai produk unit Amanah Public Mutual Berhad.

Menurut Bung Moktar, Ahli Lembaga Pengarah (ALP) Felcra telah mengikut prosedur sedia ada dalam membuat permohonan kepada menteri terbabit untuk mendapatkan kelulusan dan kelulusan permohonan Felcra oleh Menteri Kewangan II tidak bergantung sepenuhnya pada cadangan ALP, sebaliknya bergantung pada banyak faktor serta prosedur.

Saksi pembelaan pertama itu berkata beberapa prosedur, due diligence, kajian oleh Menteri Kewangan dan pertimbangan secara maksimum telah dijalankan sebelum skim pelaburan itu diluluskan oleh Menteri Kewangan II.

“Beberapa faktor dipertimbangkan semasa menilai skim pelaburan termasuk sifat pelaburan, risiko yang terlibat dalam skim dan Menteri Kewangan II meluluskan skim terbabit berdasarkan analisis menyeluruh oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) terhadap skim itu.

“Saya percaya keputusan muktamad oleh Menteri Kewangan II jarang sekali bergantung pada satu cadangan sahaja, sebaliknya keputusan itu hasil daripada penilaian teliti terhadap pelbagai data untuk memastikan kebertanggungjawaban fiskal dan keselarasan dengan dasar kerajaan,” katanya yang turut menafikan pernah berkomunikasi outside dengan Menteri Kewangan II mengenai permohonan pelaburan terbabit.

Dalam pada itu, Bung Moktar berkata beliau tidak pernah mengarahkan atau meminta Zizie Izette untuk menerima wang RM2.8 juta daripada Norhaili dan Madhi masing-masing pada 12 dan 17 Jun 2015 bagi pihaknya.

“Saya tidak pada bila-bila masa dimaklumkan oleh isteri saya mengenai penerimaan wang itu. Saya juga tidak dimaklumkan oleh mana-mana orang mengenai hal terbabit sehinggalah saya dipanggil untuk membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2016 atau 2017,” katanya.

Disoal peguam M. Athimulan mewakili Bung Moktar mengenai sama ada beliau secara tidak langsung mempercepat kelulusan Kementerian Kewangan untuk meluluskan produk pelaburan Public Mutual Berhad, Bung Moktar menjawab, “Tidak pernah Yang Arif kerana saya tidak mampu buat perkara itu”.

Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad didakwa pada 3 Mei 2019, dengan dua pertuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan untuk mendapatkan kelulusan Felcra melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bung Moktar dituduh menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad Madhi Abdul Hamid menerusi Zizie Izette, 46, di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari hingga 5 petang, 12 Jun 2015.

Bung Moktar juga dituduh secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan, iaitu wang tunai berjumlah RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad Norhaili Ahmad Mokhtar melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan yang sama.

Zizie Izette pula berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara sama, di tempat, tarikh dan masa serupa.

Perbicaraan di hadapan Hakim Rosli Ahmad bersambung esok. - BERNAMA

TAG: Mahkamah Sesyen, Bung Moktar, Zizie Izette, rasuah, bela diri, bicara

GRACE AISYAH KEDAYAN