BATU PAHAT, 2 September - Tiga lelaki dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM2,000 setiap seorang oleh Mahkamah Syariah Batu Pahat, Johor kerana terbabit dalam upacara pemujaan menggunakan tarian kuda kepang di Parit Raja, Batu Pahat, pada 10 dan 11 Ogos lalu.
Hakim Syarie Syazwan Mohd Yusof menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Suhail Suttrysono, 35 tahun, Azman Mohamed Seh, 45 tahun dan Anuar Bandi, 40 tahun.
Ketiga-tiga tertuduh akan dipantau Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), selama enam bulan selepas tamat tempoh penjara dan sekiranya gagal membayar denda, hukuman penjara akan ditambah 14 hari.
Mengikut pertuduhan, Muhammad Suhail yang bekerja sebagai pengawal keselamatan, didakwa melakukan upacara pemujaan mengikut Seksyen 3 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997.
Manakala Azman dan Anuar, kedua-duanya mekanik, didakwa bersubahat sebagai pemain muzik mengikut Seksyen 43(b) enakmen sama.
Kes dikendalikan Pendakwa Syarie Batu Pahat, Ummu Salamah Sukayat, manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam.