Butterworth, 20 Januari- Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang nelayan pada 8 Januari lalu.
Tertuduh, Mohd Rezuan Ab Jalil, 41 , bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nor Azah Kasran.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan niat telah menyebabkan kematian Rodzi Mohd Tahir, 47, di hadapan Masjid Mini Haji Othman, Kuala Muda, Penaga, antara pukul 6.30 pagi hingga 6.25 petang, pada 8 Januari lalu.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 30 tahun dan dikenakan denda, jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Muhammad Rifaie Mohamed Riyaludin.
Tertuduh tidak diwakili peguam.
Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan perlu lapor diri dua minggu sekali.
Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 21 Februari depan.