fb fb fb fb fb

Lelaki ditahan kes curi barang kemas pensyarah bernilai RM237,000

FOTO IPD KUALA TERENGGANU

KUALA TERENGGANU, 20 Januari- Seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes kecurian barang kemas bernilai RM237,000 milik seorang pensyarah perubatan sebuah institusi pengajian tinggi di negeri ini.

Suspek berusia 31 tahun itu ditahan di Jalan Sultan Omar, Kuala Terengganu kira-kira pukul 3 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Azli Mohd Noor berkata siasatan mendapati suspek yang bekerja sebagai peniaga minyak wangi merupakan adik angkat kepada suami mangsa dan mempunyai akses penuh ke kediaman tersebut pada bila-bila masa.

Kehilangan barang kemas tersebut dipercayai berlaku sejak November tahun lalu, tetapi disedari sepenuhnya 17 Januari lalu.

Susulan itu mangsa yang berusia 49 tahun telah membuat laporan di IPD Kuala Terengganu pada Sabtu.

Hasil siasatan suspek mengaku telah mengambil dan menjual barang kemas tersebut ke sebuah kedai emas di daerah ini.

Polis kemudiannya membawa suspek ke kedai emas terbabit dan merampas buku resit serta seketul logam berwarna kekuningan yang dipercayai ketulan emas.

Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimjm 10 tahun serta denda dan bagi kesalahan kedua boleh dihukum penjara serta dikenakan denda atau sebat.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE