KEMAMAN, 20 Januari - Dua individu termasuk seorang pengarah sebuah agensi kerajaan direman kerana disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah RM900,000.
Perintah reman enam hari hingga 25 Januari depan dikeluarkan oleh Majistret Sharifah Amierda Shasha Amir Shariffuddin di Mahkamah Majistret Kemaman.
Kedua-dua suspek lelaki berusia 40-an itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kemaman.
Dipercayai perbuatan itu dilakukan sebagai balasan mendapatkan projek, menyediakan dan meluluskan beberapa pelan pembangunan kepada sebuah syarikat perunding sekitar tahun 2015 hingga 2020.
Wang rasuah diterima secara tunai dan melalui transaksi pindahan ke akaun bank milik suspek dan adiknya.
Kes disiasat mengikut Akta SPRM 2009. Turut disita adalah sebuah kenderaan mewah disyaki dibiayai syarikat berkenaan.