fb fb fb fb fb

Penganggur dituduh cabul wanita di Kluang diarah jalani pemeriksaan psikiatri

FOTO HIASAN

KLUANG, 2 Januari- Mahkamah Majistret Kluang memerintahkan seorang pengganggur yang dituduh mencabul seorang wanita di Kluang, bulan lalu untuk menjalani pemeriksaan psiakiatri selama sebulan di Hospital Permai, Johor Bahru. 

Perintah tersebut dikeluarkan Majistret Mustaqim Sukarno terhadap tertuduh, Mohamad Sopor @ Nasir, 34 tahun selepas pertuduhan semula dibacakan terhadapnya. 

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah untuk mencabul seorang wanita di dalam tandas awam di Laman Kreatif Kampung Melayu, Kluang, 5.20 petang, 17 Disember lalu. 

Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan. 

Sebelum itu, pada 19 Disember lalu, Mohamad Sopor mengaku salah ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kluang selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mujib Saroji. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Siti Nurfara Fazilun Izylin Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam. 

Sebutan semula kes ditetapkan 4 Februari depan. 

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE