KULIM, 2 Januari- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Kulim, Kedah dengan kerjasama KPDN Alor Setar menumpaskan aktiviti penjualan minyak masak peket 1 kilogram bersubsidi, gula dan tepung gandum tanpa lesen menjual barang kawalan.
Ia hasil serbuan di kawasan pembinaan sebuah kilang di Kulim, Kedah melalui Operasi Kita Gempur.
Pengarah KPDN Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin berkata serbuan yang dilakukan pada pukul 12 tengah hari dengan kekuatan tujuh anggota itu turut menahan seorang lelaki tempatan berumur lingkungan 30- an yang mengaku sebagai penjaga premis runcit berkenaan.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut di premis berkenaan menemukan sejumlah minyak masak polybeg 1 kilogram, gula dan tepung gandum yang disimpan di dalam premis tanpa lesen atau permit yang sah.
"Sehubungan itu, pasukan serbuan telah menyita 967 kg minyak masak polybeg bersubsidi, 480 kg tepung gandum dan 23 kg gula dengan nilai sitaan keseluruhan dianggarkan berjumlah hampir RM4,000," katanya.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122].
"KPDN ingin memberi amaran kepada semua pihak yang berurusan dengan barang kawalan dan bersubsidi agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah dikuatkuasakan dan menegaskan bahawa kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi," katanya.