BESUT, 2 Januari – Seramai 127 pendatang asing tanpa izin (PATI) diperiksa dalam serbuan Ops Sapu di sebuah tapak pembinaan di Kampung Gong Penaga, Bukit Puteri, Jertih, di sini pada Rabu.
Operasi yang dijalankan bermula pukul 9 malam hingga 5 pagi itu diketuai Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri, Mohd Yusri Mohd Nor, susulan maklumat yang diterima daripada orang awam.
Ketika serbuan, kebanyakan PATI ditemui sedang nyenyak tidur, dipercayai keletihan selepas menyambut malam tahun baharu.
Daripada jumlah yang diperiksa, 25 PATI termasuk seorang wanita ditahan atas kesalahan tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan tinggal melebihi tempoh yang ditetapkan.
Mereka yang ditahan terdiri daripada 12 lelaki dan seorang wanita warga Indonesia, lima lelaki warga Bangladesh, dua lelaki warga Myanmar, empat lelaki warga Pakistan dan seorang lelaki warga India.
Kesemua mereka ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan telah dihantar ke Depot Tahanan Imigresen Ajil, Kuala Berang, untuk siasatan lanjut.