fb fb fb fb fb

JKDM Kelantan tumpas sindiket seludup rokok & kenderaan klon bernilai RM2.8 juta

FOTO JKDM KELANTAN

TUMPAT, 2 Januari- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan menumpaskan aktiviti penyeludupan rokok dan pengedaran kenderaan klon yang dianggar bernilai RM2.8 juta dengan anggaran cukai lebih RM5 juta.

Pengarah Kastam Negeri Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, ia hasil serbuan Pasukan Operasi Cawangan Penguatkuasaan Pengkalan Kubor.

Menurut beliau, dalam kes pertama pasukan itu menyerbu dan merampas 150,000 batang rokok seludup pada 11.30 malam di Pulau Tengkorak, Pengkalan Kubor, Tumpat pada  20 Disember lalu.

Nilai rampasan rokok tersebut dianggarkan berjumlah RM28,500 melibatkan cukai berjumlah RM101,850.

"Modus operandi digunakan penyeludup adalah dengan membawa masuk rokok menggunakan bot melalui tempat pendaratan tidak sah dan siasatan masih dijalankan," katanya.

Sementara itu, Wan Jamal Abdul Salam dalam kenyataan medianya berkata, sehingga November lalu, JKDM Kelantan berjaya menyita 35 unit kenderaan yang didapati tidak mematuhi prosedur pengimportan, kerana tiada Permit Import dan dokumen pengimportan tidak dapat dikemukakan.

Ia hasil beberapa siri operasi mengesan kenderaan-kenderaan diseludup dari negara jiran.

Operasi melibatkan kenderaan dijual di pasaran tempatan menggunakan nombor pendaftaran model kenderaan sama berdaftar dengan JPJ.

Kes masih dalam siasatan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE