fb fb fb fb fb

Penganggur didakwa sertai Geng Jackie, mengaku tidak bersalah

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang berkenaan di daerah ini antara 1 Jan 2017 hingga 28 Nov 2019 / Foto RTM

JOHOR BAHRU, 29 Ogos - Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang, 'Geng Jackie', lapan tahun lalu.

Lee Thiam Poh, 50, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Ariffin Ismail.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang berkenaan di daerah ini antara 1 Jan 2017 hingga 28 Nov 2019.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya V. Suloshani dan Hairun Najmi Mashahadi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan dan menetapkan 9 Okt depan untuk sebutan semula kes.

MUHAMMAD ASYRAF BIN MOHD ZUHAIRIE