fb fb fb fb fb

Gali kubur selesai, bedah siasat mayat Syamsul Haris dilakukan esok

Foto RTM

KAJANG, 29 Ogos – Proses menggali semula kubur pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor, Syamsul Haris Shamsudin, selesai kira-kira pukul 9.15 pagi tadi.

Kerja penggalian di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Hulu, Semenyih bermula sekitar pukul 8 pagi sebelum jenazah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi tujuan bedah siasat.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan permohonan ibu Allahyarham, Ummu Haiman Bee Daulatgun, untuk menjalankan bedah siasat kedua terhadap anak sulungnya itu. Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet membuat keputusan tersebut pada 26 Ogos lalu.

Bedah siasat kedua dijadualkan berlangsung esok di HKL oleh pakar forensik, dengan kehadiran peguam serta keluarga terdekat.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar, mengesahkan kes ini kini diambil alih oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) D5 Bukit Aman berkuat kuasa serta-merta.

NIK MOHD HAFIZUL BAHARUDDIN

Hello