BATU PAHAT, 2 Mei - Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mengedar lebih 20 kilogram syabu.
Tertuduh, Muhammad Nur Hazreq Kairuddin didakwa melakukan jenayah itu di jeti Minyak Beku, 21 April lepas.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) Akta sama.
Tertuduh, 36 tahun, hanya mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurasidah A. Rahman.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Sebutan semula kes 30 Jun ini bagi serahan laporan kimia.
Tiada jaminan ditawarkan.
Tertuduh antara lima individu ditahan polis Johor menerusi tujuh operasi berasingan di empat daerah sejak 20 April hingga minggu lalu.
Ini termasuk Johor Bahru, Batu Pahat, Kluang dan Kota Tinggi.
Operasi, membawa kepada rampasan pelbagai jenis dadah bernlai hampir RM9 juta.