JOHOR BAHRU, 2 Mei – Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru atas dua pertuduhan mengedar dan memiliki 225.06 gram dadah pelbagai jenis, bulan lalu.
Tertuduh, Lim Ken Yi, 23 tahun, hanya mengangguk faham selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Azureen Sahira Sauffee Afandi.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengedar 219.06 gram dadah jenis MDMA di tepi Jalan Datuk Abdullah Tahir, Johor Bahru, pada jam 1.30 tengah hari, 20 April lalu.
Bagi pertuduhan kedua, dia turut didakwa memiliki enam gram dadah jenis ketamin di lokasi dan tarikh yang sama.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 12 Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aishah Latif, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan dan menetapkan 25 Jun depan untuk sebutan semula kes.