fb fb fb fb fb

Penganggur didakwa bunuh bapa kandung

Tertuduh, Iznan Syahir Mohammad Tasnim, 25 tahun/RTM

KUALA LUMPUR, 19 September- Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh bapa kandungnya di rumah mereka, minggu lepas.

Iznan Syahir Mohammad Tasnim, 25, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret M.S Arunjothy, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Lelaki itu didakwa membunuh Mohammad Tasnim Nurdin, 62, di sebuah unit pangsapuri di Bandar Seri Permaisuri, Cheras di sini pada 3.01 pagi 13 September.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nadia Eleena Jamaluddin Akbal manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 11 Disember untuk sebutan semula kes.

Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki menikam bapanya hingga maut selepas dipercayai tidak berpuas hati berhubung isu harta keluarga.

SITI AISHAH BINTI MD ISA