JOHOR BAHRU, 19 September- Seramai 55 pekerja warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor dalam serbuan ke atas enam premis restoran sekitar bandar raya ini semalam.
Tindakan menerusi Op Selera itu menyasarkan restoran yang menggajikan pekerja asing tanpa permit sah selain pelbagai kesalahan imigresen lain.
Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada 46 warga Myanmar, enam warga Korea dan tiga warga Bangladesh berusia antara 18 hingga 53 tahun.
“Mereka disyaki bekerja sebagai pelayan restoran dan tukang masak tanpa dokumen sah.
Selain itu, empat pengurus premis, iaitu tiga warga tempatan dan seorang warga asing turut ditahan bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan.
Kes disiasat bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.