KOTA KINABALU, 19 September – Prosiding inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu hari ini ditangguhkan selepas saksi kanak-kanak pertama, dikenali sebagai Pelajar A, enggan memberi keterangan.
Koroner Amir Shah Amir Hassan memaklumkan, keputusan itu dibuat selepas peguam yang mewakili saksi berkenaan memaklumkan anak guamnya berasa takut berikutan sebahagian kenyataan awalnya telah tular di media sosial pagi tadi.
Menurutnya, saksi telah bersetuju pada awalnya untuk hadir ke mahkamah. Namun berubah fikiran selepas isu penularan tersebut.
Koroner Amir Shah meluahkan kekecewaan kerana perkara berkenaan menjejaskan kelancaran prosiding.
Beliau turut menggesa pihak peguam membuat laporan polis agar tindakan tegas diambil terhadap mereka yang menyebarkan kenyataan berkenaan.
Terdahulu, Koroner turut memanggil semua barisan peguam terlibat bagi membincangkan isu berkenaan, termasuk penularan nama pelajar lain yang dijadualkan tampil memberi keterangan pada prosiding akan datang.