KUALA LUMPUR, 17 November- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mereman seorang pemilik syarikat selama empat hari hingga 20 November kerana disyaki bersubahat dalam tuntutan palsu menggunakan dokumen tuntutan kira-kira RM10 juta.
Perintah reman dikeluarkan Pendaftar Nazira Adlin Ahmad Khairul Razi selepas SPRM membuat permohonan itu di Mahkamah Majistret Putrajaya.
Menurut sumber SPRM, suspek lelaki berusia 40-an itu dipercayai ditahan kira-kira pukul 7.00 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.
Siasatan awal mendapati suspek melakukan kesalahan itu pada tahun 2019 sehingga tahun ini.
Penahanan ke atas suspek susulan tangkapan membabitkan seorang bekas pengurus kanan kejuruteraan sebuah syarikat pengeluaran barang keperluan asas berkaitan tuntutan palsu dan penipuan kira-kira RM2 juta pada Rabu lepas.
Dalam pada itu, suspek yang juga pengurus sebuah syarikat pembaikan mesin di sebuah kilang pengeluaran barang keperluan asas disyaki mengemukakan tuntutan palsu syarikatnya bagi menjalankan kerja-kerja pembaikan serta memberi rasuah kepada kakitangan syarikat yang meluluskan tuntutan-tuntutan palsu tersebut.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.