PUTRAJAYA, 18 November - Mahkamah Rayuan hari ini memerintahkan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isteri, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad membela diri atas tiga pertuduhan rasuah bernilai RM2.8 juta
Keputusan tersebut diputuskan sebulat suara oleh panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan yang terdiri daripada Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Noorin Badaruddin.
Pada 18 September 2023, pihak pendakwaan memfailkan rayuan terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azhar Abdul Hamid pada 7 September 2023; yang membebaskan pasangan itu daripada pertuduhan berkenaan.
Hakim Mohamed Zaini ketika membacakan keputusan tersebut berkata kes prima facie dibuktikan terhadap tertuduh, apabila pihak pendakwaan telah mengemukakan bukti kukuh dan dipercayai membuktikan setiap elemen kesalahan boleh membawa kepada sabitan.
Bung Moktar, 65, dan Zizie Izette, 46, didakwa menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan FELCRA untuk melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Mahkamah kemudian menetapkan 5 Disember depan untuk sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen.
Terdahulu, pasangan itu tiba di kompleks Mahkamah Putrajaya pukul 8:50 pagi tadi.
Mengikut pertuduhan pertama, Bung yang ketika itu merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Madhi Abdul Hamid melalui isteri tertuduh, Zizie Izette.
Beliau dituduh melakukan perbuatan itu sebagai upah bagi mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk Felcra membuat pelaburan sebanyak RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual.
Pasangan itu didakwa melakukan perbuatan itu di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati, No. 262-265, Jalan Bandar 12, Taman Melawati di sini, antara 12.30 tengah hari dan 5 petang, 12 Jun 2015.
Bagi pertuduhan kedua, Bung didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM262,500 daripada individu sama, melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) yang didaftarkan atas nama isterinya, bagi tujuan yang sama.
Bung juga dituduh secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad Norhaili Ahmad Mokhtar melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) yang didaftarkan atas nama Zizie bagi tujuan yang sama.
Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan di lokasi sama pada 12.16 tengah hari dan 12.28 tengah hari, pada 19 Jun 2015.
Isteri Bung mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara sama, di tempat, tarikh dan masa serupa mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM.
Pasangan itu boleh dihukum di bawah Subseksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.