fb fb fb fb fb

Seorang warga asing ditahan, korek mata lelaki tempatan

Foto hiasan

TASEK GELUGOR, 17 November- Seorang lelaki warga asing direman empat hari bagi membantu siasatan berikutan tindakan mengorek mata seorang lelaki warga tempatan di sebuah flat Jalan Ara Kuda.

Suspek berusia 28 tahun itu ditahan susulan kejadian pergaduhan kira-kira pukul 2.00 petang, semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner (ACP) Anuar Abdul menerusi satu kenyataan memaklumkan suspek direman bermula hari ini hingga Rabu depan bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

"Pusat kawalan IPD SPU telah terima panggilan dan dimaklumkan terdapat satu pergaduhan melibatkan dua lelaki di tepi jalan berdekatan blok B DAN C Flat Rathina, Tasek Gelugor, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang berdekatan dengan Taman Rathina, Jalan Ara Kuda Tasek Gelugor Seberang Perai Utara, Pulau Pinang.

"Keterangan mangsa tidak dapat dirakam kerana sedang menjalani pembedahan mata di Hospital Besar George Town, Pulau Pinang," menurut kenyataan itu.

Pergaduhan dipercayai berlaku berikutan mangsa berusia 52 tahun dikatakan sering mengganggu suspek.

Berang dengan gangguan berkenaan, suspek bertindak memukul sebelum mengorek keluar mata kiri mangsa menggunakan tangan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI