fb fb fb fb fb

Pembantu rumah didakwa beri rasuah RM600 kepada pegawai MBIP

Tertuduh, Mariana Umar (kanan) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas pertuduhan rasuah

JOHOR BAHRU, 16 Oktober -Gara-gara memberi rasuah RM600 kepada pembantu penguat kuasa Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), seorang pembantu rumah warga Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini.

Tertuduh, Mariana Umar, 50, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Mengikut pertuduhan, Mariana didakwa memberi wang tunai RM600 sebagai dorongan supaya tidak dikenakan tindakan kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen sah.

Kesalahan itu dilakukan di Taman Universiti, Skudai pada 10 Mac lalu, kira-kira pukul 12.30 tengah hari.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhd Faizul Kamaro Zaman, manakala tertuduh diwakili peguam K. Bharathi.

Mahkamah membenarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia dan menetapkan 20 November depan untuk sebutan semula kes.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN