JOHOR BAHRU, 16 Oktober -Seorang pekerja restoran mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan memberi rasuah kepada pegawai penguat kuasa Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), dua tahun lalu.
Tertuduh, Mohd Yasin Abdul Karim, 43 tahun, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Mengikut kertas pertuduhan, Mohd Yasin didakwa memberi wang tunai RM3,000 kepada pegawai penguat kuasa MBIP pada 19 Januari 2023, kira-kira pukul 3 petang.
Suapan itu dipercayai bagi mengelak tindakan diambil terhadapnya berhubung kesalahan bawah Undang-Undang Kecil 4, Undang-Undang Kecil Penjaja MBIP (2020).
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fazal Lisam Abidin, manakala tertuduh diwakili peguam Chai Chee Ping.
Mahkamah membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia serta syarat lapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor Bahru setiap bulan.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 19 November depan.