fb fb fb fb fb

Pembantu kedai mengaku salah tinggalkan bayi

Foto RTM

KANGAR, 7 Februari-Seorang wanita yang juga pembantu kedai makan mengaku bersalah di Mahkamah Majistret kangar atas kesalahan meninggalkan seorang bayi perempuan yang baru dilahirkan di sebuah kedai makan di Sanglang bulan lalu.

Tertuduh, Nor Zainab Jamaludin, 30 tahun, dari Kampung Permatang Bongor, Simpang Empat, hanya mengangguk faham dan mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ana Rozana Abdul Rahim.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa meninggalkan seorang bayi perempuan di sebuah kedai makan di Kampung Rama, Sanglang dekat Arau Perlis sekitar pukul 6.30 pagi, 19 Januari lalu.

Oleh itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen yang sama.

Pendakwaan dilaksanakan oleh Tengku Ruqayyah Tengku Shahrom manakala tertuduh diwakili peguam, Siti Hajar Che Ahmad dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Tengku Ruqayyah dalam permohonannya meminta mahkamah menetapkan jaminan kepada tertuduh sebanyak RM20,000 serta tarikh baru bagi menunggu laporan kimia dan laporan forensik.

Ana Rozana kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin kepada tertuduh dan 19 Mac hadapan ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD