TELUK INTAN, 16 Januari- Seorang pembantu kedai makanan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan memandu bawah pengaruh dadah hingga menyebabkan kematian tiga lelaki warga Pakistan, pada April 2024.
Bagaimanapun tertuduh Mohd Azizol Abdul Rasheed, 37 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Naidatul Athirah Azman.
Mengikut pertuduhan, Mohd Azizol didakwa memandu bawah pengaruh dadah hingga menyebabkan kematian Khan Adil, 33 tahun; Muhammad Zahir, 31 tahun dan Shayan Muhammad, 22 tahun.
Kesalahan dilakukan di kilometer 16, Jalan Teluk Intan menghala ke Bidor pukul 8.10 pagi pada 10 April 2024.
Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).
Dalam prosiding sama, tertuduh turut didakwa memandu bawah pengaruh dadah sehingga mendatangkan kecederaan kepada Kamran Ali, 27 tahun; Khan Saleem, 23 tahun; serta Khan Yaseen, 20 tahun di lokasi, tarikh dan masa sama.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 bagi keenam-enam pertuduhan dan menetapkan 19 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.