fb fb fb fb fb

Mahkamah benar kes salah guna jawatan, pengubahan wang haram Muhyiddin dibicara bersama

FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 16 Januari- Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan pihak pendakwaan agar empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukan dan tiga pertuduhan menerima wang daripada aktiviti haram dihadapi bekas perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dibicarakan bersama.

Permohonan itu dibenarkan Hakim Azura Alwi kerana ia memenuhi kriteria bawah Seksyen 165 Kanun Tatacara Jenayah kerana pertuduhan membabitkan beberapa siri perbuatan membabitkan transaksi dan individu yang sama.

Menurut pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, mereka akan mengemukakan 30 saksi untuk perbicaraan.

Mahkamah kemudian menetapkan 18 Februari untuk pengurusan kes menetapkan tarikh perbicaraan.

Sementara itu, mahkamah membatalkan permohonan Tan Sri Muhyiddin untuk menarik balik pertuduhan pengubahan wang haram terhadapnya.

Ini selepas peguam beliau, Amer Hamzah Arshad, memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya mahu menarik balik permohonan itu kerana perkara itu telah menjadi akademik.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE