NILAI, 16 Januari - Tiga lelaki ditahan kerana dipercayai terlibat jenayah pecah rumah dan penyalahgunaan dadah di Jalan Tasik Senangin 6 Lenggeng di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Nilai Supt Abdul Malik Hasim dalam kenyataan berkata, pihaknya mengesan sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan di lokasi berkenaan pada 4.30 pagi ketika menjalankan rondaan.
Bagaimanapun katanya kereta dinaiki tiga lelaki berumur lingkungan 30an itu memecut dan melarikan diri sejauh dua kilometer apabila diminta untuk memberhentikan kenderaan dan ditahan di hadapan Sekolah Jenis Kebangsaan (T) Ladang Lenggeng, Nilai.
"Hasil siasatan awal mendapati kesemua suspek mempunyai pelbagai rekod lampau melibatkan kesalahan jenayah dan narkotik.
"Turut dirampas adalah sebuah kereta, alat pemotong kabel (tiga), pisau (dua), pemutar skru, besi kuku kambing, besi pencungkil, batang besi, kunci pembuka lurang dan peralatan disyaki digunakan untuk menghisap dadah," katanya.
Beliau berkata ketiga-tiga suspek positif dadah jenis metamfetamina dan kes disiasat bawah Seksyen 188 Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan Letupan Senjata Berjadual 1958, Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Kesemua mereka direman bermula hari ini hingga 19 Januari.