fb fb fb fb fb

Pembantu kedai didakwa miliki senjata tiruan dan dadah, mohon untuk dibicarakan

Seorang pembantu kedai makan mengaku tidak bersalah di atas dua pertuduhan iaitu memiliki senjata tiruan dan dadah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu

KUALA TERENGGANU, 22 Julai - Seorang pembantu kedai makan mengaku tidak bersalah di atas dua pertuduhan iaitu memiliki senjata tiruan dan dadah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, di sini.
 
Tertuduh, Zul Eizman Syafeeq Suhainin, 26 tahun juga meminta untuk dibicarakan sebaik kedua-dua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret Noor Mazrinie Mahmood.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didapati memiliki selaras pistol tiruan di dalam bilik sebuah rumah di Kampung Ladang Sehat kira-kira pukul 1.30 petang pada 18 Julai lalu.
 
Tertuduh, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mendakwa dirinya tidak waras ketika kejadian dan memohon untuk menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Tampin.
 
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960.
 
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
 
Manakala pertuduhan kedua, tertuduh didakwa telah memasukkan dadah berbahaya jenis methamphetamine ke dalam badannya di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik daerah pada pukul 2.30 petang tarikh yang sama.
 
Bagi kes itu, tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin sebelum menetapkan 30 September untuk sebutan semula kes dan laporan kimia.
 
Sebelum ini media melaporkan seorang lelaki ditahan polis selepas videonya menunggang motosikal sambil mengacu-acukan objek menyerupai sepucuk pistol tular di media sosial.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN