fb fb fb fb fb

Pemandu lori dituduh cuba bunuh polis trafik, pandu secara bahaya

emandu lori (dua dari kiri) didakwa atas tiga pertuduhan membabitkan cubaan membunuh anggota polis serta dua lagi kesalahan trafik di Mahkamah Majistret Kuala Pilah / Foto RTM

SEREMBAN, 15 April - Pemandu lori didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Pilah hari ini atas tiga pertuduhan membabitkan cubaan membunuh anggota polis serta dua lagi kesalahan trafik di Jempol pada minggu lalu.

Tertuduh Muhamad Hasrulnizam Hasim, 21 tahun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Saiful Sayoti.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh cuba menyebabkan kematian ke atas seorang anggota polis lelaki selepas bertindak melarikan diri daripada ditahan polis dengan cara menghimpit dan cuba melanggar motosikal yang dinaiki anggota tersebut sehingga terbabas.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh pada 9 April lalu kira – kira pukul 12.30 hingga 1.15 tengahari di Kilometer 5 Jalan Serting Tengah - Keratong di Jempol.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kesalahan trafik, pada tarikh sama pukul 12.25 tengahari di kilometer 9 Jalan Bahau-Kemayan, Jempol tertuduh telah memandu lori dalam keadaan melulu dan merbahaya iaitu dengan sengaja menghimpit sehingga hampir melanggar kenderaan polis dan merbahaya kepada orang awam.

Sehubungan itu, dia telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 42 kurungan 1 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum di bawah Seksyen Akta yang sama.

Tertuduh juga didakwa mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) atas kesalahan memandu lori dengan tidak cermat serta cuai dan didapati telah melanggar sebuah motosikal.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD