fb fb fb fb fb

Langkah keselamatan KLIA dipertingkatkan, elak kejadian berulang

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan/Foto RTM

SEPANG, 15 April -Beberapa langkah keselamatan akan di ambil bagi memastikan keselamatan di lapangan terbang dipertingkatkan susulan insiden kes tembakan di di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 pada 14 April lalu.

Langkah berkenaan dilihat mampu menggelak kejadian sama daripada berulang.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan pihaknya akan mencadangkan pihak pengurusan lapangan terbang KLIA 1 untuk meletakkan mesin imbasan dan penutupan lorong. 

Tambah Hussein, pihaknya turut mencadangkan penggunaan 'Skuter elektrik diperluaskan bagi memudahkan pihak polis memperluaskan rondaan dalam kawasan terbabit.

"Saya nampak salah satu lorong yang hampir dengan pintu tidak boleh dibuka kepada orang awam. Sama ada ketibaan atau pelepasan di tingkat 5 dan 3.

"Pintu masuk mempunyai risiko tinggi kerana boleh parkir dan masuk untuk meletakkan sesuatu.

"Jadi, lorong di dalam tidak patut dibuka kepada orang awam. Ini cadangan pihak polis dari dahulu lagi", katanya demikian dalam sidang media selepas menyampaikan ucapan dalam Majlis Serah dan Terima Tugas Ketua Polis Daerah KLIA IPD KLIA, di sini.

Dalam pada itu Hussein turut juga menjawab spekulasi orang ramai berikutan tiadanya tindakan drastik diambil terhadap suspek tembak di KLIA 1.

"Kalau kita tangkap, keadaan akan jadi lebih buruk. Suspek akan melepaskan tembakan di situ (KLIA 1) yang merupakan kawasan awam yang dipenuhi orang ramai dan kanak-kanak.

"Jadi, pendekatan dan tindakan pihak polis dan anggota keselamatan lapangan terbang adalah pantas dan terbaik", katanya.

Sementara itu, Hussein turut memaklumkan setakat hari ini sebanyak 11 keterangan saksi kejadian tembakan di KLIA 1 semalam telah ambil. 

Tambah beliau beberapa saksi lagi akan dipanggil melibatkan ahli keluarga dan rakan perniagaan. 

"Kita percaya dia (suspek) masih berada dalam negara. Jadi saya menyeru supaya penama tampil di balai Polis terdekat dan menyerah diri dengan cara baik supaya mudahkan semua pihak", katanya lagi.

Hussein turut memaklumkan mangsa tembakan yang merupakan pengawal keselamatan kepada isteri suspek kini berada dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan susulan. 

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD