fb fb fb fb fb

Jenayah rentas sempadan,Maritim cekup lima lelaki Indonesia

Foto APMM

KOTA TINGGI, 15 April - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Zon Maritim Tanjung Sedili, Kota Tinggi, Johor berjaya mematahkan kes jenayah rentas sempadan dengan menahan lima lelaki warga Indonesia bersama sebuah bot kayu tanpa nombor pendaftaran di Perairan Johor Timur, pagi semalam.

Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd Najib Sam berkata kesemua suspek berusia 31 hingga 53 tahun dipercayai terlibat dalam kes mencuri besi buruk dengan nilai keseluruhan rampasan kira-kira RM20,000

"Terdapat kejadian kejar-mengejar dan kita berjaya menangkap dan menahan bot tersebut di kedudukan 3.6 batu selatan Tanjung Penyusop tidak jauh daripada tempat kejadian,dan semasa diiringi ke Pos Maritim Pengerang, bot yang kami tahan telah mengalami kebocoran dan telah tenggelam pada kedudukan 2 batu nautika daripada Tanjung Bulat", katanya yang ditemui semasa sidang media di Zon Maritim Tanjung Sedili.

Tambah Mohd Najib, modus operandi yang digunakan kumpulan berkenaan sama seperti kejadian sebelum ini iaitu menyasarkan bot atau kapal bergerak perlahan.

Kesemua suspek direman selama 14 hari bermula hari ini untuk tindakan lanjut. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Kejadian ini merupakan kes kesembilan yang sama dilaporkan dan berjaya ditangani Maritim Malaysia sejak 2018.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD