KOTA BHARU, 15 April - Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu atas dua pertuduhan melakukan amang seksual terhadap adik kandung perempuannya yang berusia 17 tahun lima bulan pada 6 dan 8 April lalu.
Tertuduh yang berusia 34 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Nik Habri Muhamad.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual bukan fizikal iaitu menyebabkan mangsa memerhati atau mendengar visual aktiviti yang bersifat seksual di sebuah rumah di Lorong Tanjung, Jalan Long Yunus, Kota Bharu, pada pukul 10.00 malam 6 April lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15 (e) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya.
Untuk pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan memegang tangan mangsa dan lokasi yang sama, pukul 11.00 pagi, pada 8 April 2024.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dihukum sebat.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Edabayu Subhan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Siti Edabayu bagaimanapun tidak menawarkan sebarang jaminan dengan alasan tertuduh mempunyai pertalian darah dengan mangsa selain mangsa masih bawah umur dan masih trauma.
Beliau turut memohon satu tarikh baharu untuk serahan dokumen.
Sementara itu, tertuduh dalam rayuannya meminta agar mahkamah membenarkan jaminan terhadapnya dan dengan alasan dia hanya melakukan demonstrasi.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 6 Mei depan sebagai sebutan semula kes.