fb fb fb fb fb

Juruaudit rugi RM1.48 juta angkara pelaburan tidak wujud

(FOTO HIASAN)

NIBONG TEBAL, 12 Oktober- Seorang juruaudit sebuah syarikat swasta di Sungai Bakap kerugian RM1.48 juta selepas diperdaya sindiket pelaburan tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Supt Ng Ah Thiam berkata wanita berusia 43 tahun itu tertarik untuk menyertai pelaburan berpangkalan di New York, Amerika Syarikat berkenaan selepas melihat iklan menerusi Facebook pada 2 Mei lepas.

Beliau berkata mangsa kemudian mengikuti pautan iklan tersebut dan seterusnya diberikan penerangan mengenai pelaburan saham yang ditawarkan.

Katanya, mangsa yang berminat menyertai pelaburan terbabit telah melakukan transaksi pembayaran berjumlah RM1.48 juta ke dalam beberapa akaun yang diberikan sindiket.

“Selepas wang dimasukkan, mangsa tidak mendapat keuntungan seperti dijanjikan, malah dipaksa menambah pelaburan lagi kononnya bagi membolehkan pengeluaran wang dibuat,” katanya dalam kenyataan.

Kata Ng wanita itu menyedari dirinya ditipu lalu membuat laporan polis pada Isnin lepas dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Justeru orang ramai dinasihat supaya tidak mempercayai sebarang bentuk pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan menerusi media sosial.

(FOTO HIASAN)

Media Baharu