fb fb fb fb fb

Aktivis didakwa seleweng dana awam RM53,000, peguam beri keterangan

Peguam Hafiz Norkhan (dua, kiri) berkata polis memanggilnya untuk memberi keterangan susulan laporan polis yang dibuat oleh ayah Dea Maisarah, Bada Hussein, 48, yang juga anak guamnya pada 17 Nov lepas berhubung dakwaan penyelewengan dana awam pengurusan kematian anaknya / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 2 Disember- Seorang peguam memberi keterangan kepada polis berhubung seorang aktivis yang didakwa menyeleweng dana sumbangan awam untuk pengurusan kematian Dea Maisarah Bada berjumlah RM53,000.

Peguam Hafiz Norkhan berkata polis memanggilnya untuk memberi keterangan susulan laporan polis yang dibuat oleh ayah Dea Maisarah, Bada Hussein, 48, yang juga anak guamnya pada 17 November lepas berhubung dakwaan penyelewengan itu.

“Kami sudah menyerahkan kepada pihak polis termasuk bukti transaksi dibuat oleh orang awam yang menunjukkan adanya penyelewengan dalam kes ini,” katanya kepada pemberita selepas memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju semalam.

Bada Hussein  mendakwa aktivis terbabit gagal menjawab segala persoalan berhubung wang sumbangan kutipan yang diterima bagi menguruskan kes kematian anaknya.

Menurutnya, berdasarkan makluman diterimanya wang kutipan diperoleh oleh satu badan bukan kerajaan (NGO) yang didakwa dikendalikan oleh aktivis itu tidak diterima sepenuhnya.

"Saya dimaklumkan jumlah keseluruhan kutipan sumbangan yang terkumpul adalah lebih RM53,000 dan dia (aktivis) hanya menjelaskan kos guaman sebanyak RM20,000, selain,  diberikan RM5,000 sebagai wang sumbangan dan apa yang menjadi persoalan ke manakah lebihan baki wang berkenaan,"katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf mengesahkan menerima empat laporan polis membabitkan syarikat kendalian aktivis itu antara 26 Oktober dan 17 November lepas yang dibuat di IPD Wangsa Maju dan dirujuk ke JSJK Bukit Aman.

Sebelum ini, media melaporkan Dea Maisarah, 10, hadir ke Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) bersama bapanya pada 9 Julai lepas sebelum disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan.

Kes itu tular di media sosial apabila timbul dakwaan kanak-kanak itu lewat diberi rawatan dengan terpaksa menunggu lebih 40 minit sebelum mengalami sesak nafas, selain terpaksa diikat kerana meronta.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE