fb fb fb fb fb

Imigresen serbu Kampung Pantai Dalam, 69 PATI ditahan

Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Operasi) Jafri Embok Taha

KUALA LUMPUR, 2 November- Seramai 69 orang pendatang asing tanpa izin, PATI ditahan dalam operasi Jabatan Imigresen Malaysia, JIM di Kampung Pantai Dalam, awal pagi tadi.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Operasi) Jafri Embok Taha, pada operasi yang dilakukan pada pukul 1.30 pagi itu, seramai 110 warga asing telah diperiksa dan daripada jumlah itu seramai 69 orang PATI yang berumur diantara 2 hingga 70 tahun telah ditahan atas pelbagai kesalahan.

Semua PATI yang ditahan merupakan warga Indonesia, terdiri daripa 45 lelaki dan 23 perempuan serta seorang kanak-kanak lelaki.

"PATI seramai 69 orang ini ditahan bawah Seksyen 6 (1) (C) iaitu tidak mempunyai pas atau permit yang sah dan seksyen 15 (1) (c) iaitu tinggal melebihi tempoh masa dan juga lain kesalahan bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, dan juga peraturan-peraturan Imigresen 1963," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas operasi tersebut.

Menurut beliau lagi, operasi tersebut dilaksanakan hasil daripada risikan selama satu minggu setelah menerima aduan orang ramai.

Satu saman juga telah dikeluarkan kepada seorang warganegara Malaysia yang dipercayai melindungi PATI.

Kesemua tahanan ini akan ditempatkan di Depoh Imigresen Bukit Jalil untuk tujuan siasatan dan tindakan selanjutnya.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE