KOTA BHARU, 7 April – Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini membenarkan permohonan reman selama tiga hari terhadap seorang pegawai polis bagi membantu siasatan berhubung dakwaan meminta suapan RM10,000 daripada keluarga mangsa rogol.
Lelaki berusia 30-an itu direman bermula hari ini hingga Rabu selepas Majistret Rais Imran Hamid menerima permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Lelaki itu direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Terdahulu, lelaki berkenaan tiba di Mahkamah Kota Bharu kira-kira 8.20 pagi dengan berpakaian lokap SPRM.
Suspek ditahan oleh SPRM Kelantan di pejabatnya di Jeli petang semalam kerana disyaki meminta suapan RM10,000 daripada keluarga mangsa rogol.
Tangkapan dibuat selepas lelaki itu dipercayai meminta wang daripada pengadu, seorang wanita, sebagai pertukaran untuk menutup kes rogol yang melibatkan anak perempuan mangsa beberapa bulan lalu.
Pengarah SPRM Kelantan, Rosli Husain ketika dihubungi mengesahkan suspek direman selama tiga hari bermula hari ini.