MARAN, 7 April – Dua individu cedera selepas diserang dan ditikam oleh seorang lelaki yang mengamuk di sebuah rumah di FELDA Jengka 2, Maran, Pahang semalam.
Dalam kejadian yang berlaku sekitar pukul 10.15 pagi itu, suspek berusia 57 tahun dikatakan bertindak agresif dan menikam jirannya, seorang wanita dan seorang remaja lelaki, menggunakan sebilah pisau selepas berlaku pertengkaran.
Ketua Polis Daerah Maran, Superintenden Wong Kim Wai berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada seorang wanita yang memaklumkan kejadian pergaduhan di rumah tersebut.
Siasatan awal mendapati suspek menyerang dua mangsa yang berusia 52 dan 16 tahun. Wanita itu mengalami kecederaan di bahagian perut, tangan, dan dagu, manakala remaja lelaki tersebut ditikam di paha kanan.
Kedua-dua mangsa dilaporkan stabil dan sedang menerima rawatan di Hospital Temerloh.
Menurut Wong, kejadian itu disedari oleh penduduk kampung yang bertindak menahan dan mengikat kaki serta tangan suspek untuk mengelakkan dia terus bertindak agresif.
Namun, sebaik pasukan polis dan perubatan tiba, suspek didapati sudah tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas kesihatan dari Hospital Jengka.
Mayat suspek dihantar ke Hospital Kuantan untuk bedah siasat, manakala empat lelaki yang dipercayai terbabit dalam pergelutan telah ditahan dan akan direman hari ini bagi membantu siasatan.