SEGAMAT, 6 April – Seorang wanita cedera selepas menjadi mangsa ragut oleh tiga lelaki bermotosikal dalam kejadian di Taman Astakajaya, Buloh Kasap di sini, kira-kira pukul 7 malam, 3 April lalu.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, kejadian berlaku ketika mangsa bersama dua rakannya sebelum didatangi tiga suspek yang menaiki dua buah motosikal.
“Salah seorang daripada suspek bertindak turun dari motosikal lalu merentap rantai leher emas milik mangsa sehingga menyebabkan mangsa terjatuh dan mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, satu rakaman video berdurasi 2 minit 31 saat yang memaparkan kejadian tersebut turut tular di media sosial dan telah dikesan pihak polis.
Hasil semakan mendapati, salah satu daripada rakaman video berkenaan adalah insiden yang berlaku di Segamat.
Manakala satu lagi video masih belum dapat dipastikan lokasi sebenarnya.
Polis turut mengesahkan kewujudan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran tempat kejadian dan usaha mengesan kesemua suspek sedang giat dijalankan.
Salah seorang suspek dikenal pasti berbadan kurus, berkulit sawo matang dan memakai jaket hitam berlengan panjang.
Kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan semasa melakukan rompakan.