KOTA TINGGI, 5 April – Polis merampas sebanyak 400 karton rokok pelbagai jenama dan 19 kotak arak dipercayai tidak bercukai, dalam serbuan di sebuah pondok pekerja di Jalan Kulai, di sini, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, rampasan bernilai RM111,689 itu dilakukan oleh sepasukan anggota dari Batalion Enam Pasukan Gerakan Am (PGA) Muar hasil pemeriksaan di sebuah pondok pekerja berhadapan Simpang Orchard Golf, pada pukul 12.10 tengah malam.
“Pemeriksaan menemui 400 karton rokok mengandungi 80,000 batang rokok pelbagai jenama serta 19 kotak arak yang mengandungi 456 tin dan 28 botol pelbagai jenis minuman keras tidak bercukai yang disorokkan dalam pondok terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, seorang lelaki warga asing berusia 34 tahun yang dipercayai memiliki barang larangan itu turut ditahan.
Polis turut menyita sebuah motosikal yang dipercayai digunakan suspek.
Suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 10 April bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana memiliki barangan tidak bercukai dan tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.