JOHOR BAHRU, 28 Januari-Seorang pegawai kanan polis berpangkat ASP mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah keseluruhan RM75,000 antara Oktober dan Disember 2022.
Pengakuan dibuat ASP Mohd Khairul Saberi Nyan, 41 tahun selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Ariffin Ismail.
Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa meminta RM50,000 daripada Hanafi Hussin pada 12 Oktober 2022, bagi membantu menyelesaikan kes dihadapi.
Dia juga didakwa menerima suapan berjumlah RM10,000 daripada orang sama, pada 5 Disember, di sebuah restoren, bagi tujuan sama.
Pada 12 Disember, tertuduh sekali lagi didakwa menerima suapan bernilai 15,000 daripada individu sama, bagi tujuan yang sama.
Pendakwaan dibuat mengikut seksyen 16(a)(B) dan seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut seksyen 24(1) akta sama.
Mahkamah membenarkan jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin selain syarat tambahan.
Dalam mahkamah sama, seorang anggota polis berpangkat Sarjan di IPD Johor Bahru Selatan mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5,000 pada 25 Ogos tahun lalu.
Tertuduh, Sarjan Michael Anak Umap, 50 tahun, membuat pengakuan tersebut dihadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Ariffin Ismail.
Tertuduh didakwa menerima RM1,000 daripada Ng Yoke Ting pada tarikh tersebut di hadapan sebuah bank di daerah Kluang.
Ia bagi membantu meringankan hukuman bekas suaminya yang sedang menjalanj hukuman.
Dia juga menerima RM4,000 daripada individu sama, di Johor Bahru pada tarikh yang sama.
Pendakwaan dibuat mengikut seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut seksyen 24(1) akta sama.
Mahkamah membenarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan.
Kesemua pendakwaan disebut semula 13 Mac hadapan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwaraya SPRM Siti Asmah Zainal Ariffin dan Muhamad Asraf Mohamad Tahir manakala kedua- dua tertuduh diwakili Atuffah Said.