fb fb fb fb fb

Suspek ragut warga emas ditahan di Kangar

Yusharifuddin Mohd Yusop (dua kiri) menunjukkan foto suspek dalam kes ragut melibatkan seorang wanita warga emas di Kangar baru-baru ini/RTM

KANGAR, 28 Januari- Seorang lelaki berusia 39 tahun yang terlibat dalam kes ragut melibatkan seorang wanita warga emas berusia 75 tahun di Taman Mutiara, di sini, pada 20 Januari lalu berjaya diberkas polis.

Ketua Polis Daerah Kangar, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Yusharifuddin Mohd Yusop berkata tangkapan dilakukan pada 23 Januari oleh pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar bersama pasukan Petugas Khas dalam sebuah rumah di Kampung Syed Omar, Sungai Batu Pahat, di sini.

"Berdasarkan rekod, suspek sememangnya pernah terlibat dalam kes samun dan ragut serta pernah ditangkap sebelum ini. Kami percaya semua aktiviti jenayah ini dilakukan secara bersendirian dengan lapan kes dicatatkan sejak tahun 2011," katanya dalam sidang media di IPD Kangar di sini hari ini.

Menurutnya, ketika serbuan dilakukan, suspek cuba melarikan diri dan berlaku pergelutan dengan pasukan serbuan sebelum berjaya ditahan.

Hasil semakan mendapati, suspek memiliki lapan rekod jenayah lampau melibatkan kes jenayah seperti samun dan ragut serta kes berkaitan narkotik.

Suspek juga baru sahaja dibebaskan dari penjara kira-kira lapan bulan lalu.

Suspek kini ditahan reman selama lima hari bermula 23 Januari hingga 27 Januari dan lanjutan reman selama empat hari lagi dari 28 Januari sehingga 31 Januari ini untuk siasatan lanjut bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

Yusharifuddin turut mengingatkan orang ramai agar berhati-hati ketika berada di tempat awam terutama di kawasan sunyi bagi mengelakkan menjadi mangsa jenayah.

SITI AISHAH MD ISA