BUKIT BERUANG, 28 Januari - Nilai kerugian akibat kes penipuan dalam talian di Melaka meningkat kepada RM73.4 tahun lalu, berbanding RM48.4 juta pada 2023.
Pemangku Ketua Polis Melaka Datuk Md Nazri Zawawi berkata, antara punca peningkatan kes jenayah komersial itu adalah disebabkan terpedaya dengan ugutan daripada suspek.
Statistik tangkapan melibatkan jenayah komersial juga direkodkan meningkat lebih 94 peratus berbanding 2023.
"Antara faktor yang menyumbang kepada mangsa boleh percaya sebenarnya ayat yang diguna pakai oleh suspek, ada unsur ugutan mereka akan hubungi mangsa. Contohnya mereka akan kata saya daripada "mana-mana" dan tuan puan dipercayai terlibat sesuatu kes.
"Disitu ayatnya itu boleh memancing mangsa percaya bahawa itu adalah panggilan daripada pihak-pihak tertentu sedangkan kadang-kadang mangsa tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan panggilan tersebut," kata Md Nazri.
Beliau bercakap kepada media selepas Majlis Apresiasi, Lafaz Ikrar dan Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, di sini.
Dalam tempoh Januari hingga Disember 2024, sebanyak 1,692 kes jenayah direkodkan berbanding 1,458 kes pada tempoh sama bagi 2023. Daripada keseluruhan kes yang dilaporkan itu, polis Melaka berjaya menyelesaikan 1,082 kes atau 63.9 peratus.
Meskipun berlaku peningkatan kes jenayah, Kontinjen Melaka berada pada kedudukan ketiga terbawah sebagai penyumbang kepada kes indeks iaitu hanya 2.9 peratus berbanding 14 kontinjen negeri lain.