fb fb fb fb fb

Pecah amanah lebih RM81,000, penolong akauntan mengaku tidak bersalah

Seorang penolong akauntan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kangar atas 13 pertuduhan pecah amanah membabitkan wang milik Kerajaan Negeri Perlis bernilai lebih RM81,000

KANGAR, 26 Julai - Seorang penolong akauntan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas 13 pertuduhan pecah amanah membabitkan wang milik Kerajaan Negeri Perlis bernilai lebih RM81,000 antara tahun 2018 hingga 2019.

Tertuduh, Mohd Reimi Ismail bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Norsalha Hamzah.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang merupakan Penolong Akauntan Pejabat Perbendaharaan Negeri Perlis didapati telah menyalahgunakan wang tunai dengan jumlah keseluruhan RM81,585.04.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut di tiga bank berbeza, di sini dari 29 Jun 2018 hingga 5 September 2019.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan, dimana sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun dengan sebatan serta denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nurul Atiqah Mohamad Alias manakala tertuduh diwakili peguam, Syed Muhammad Anwar Syed Lokman Hakim.

Hakim memutuskan tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000 dan tertuduh telah membayar ikat jamin tersebut dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 27 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN