TAIPING, 26 Julai - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak merampas sebanyak 673 unit pakaian jersi berjenama disyaki menggunakan cap dagang tidak sah, di sebuah kompleks membeli belah, di sini.
Pengarah KPDN Perak Datuk Kamaluddin Ismail dalam satu kenyataan berkata, nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah melebihi RM15,000.
"Operasi ke atas premis berkenaan dilakukan susulan risikan selama dua minggu yang dijalankan setelah pemilik cap dagang membuat aduan.
"Susulan itu juga seorang penyelia premis warga tempatan berusia 54 tahun ditahan bagi membantu siasatan,"kata Kamaluddin.
Kes disiasat mengikut Seksyen 102 (1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam milikan atau kawalan bagi maksud perdagangan suatu cap dagangan berdaftar yang dipakaikan dengan salah bawah Seksyen 100 Akta sama.
Sebarang maklumat mengenai kesalahan tersebut boleh disalurkan ke mana-mana cawangan KPDN berdekatan atau melalui saluran-saluran aduan yang telah disediakan.