KUALA LUMPUR, 9 Februari - Cubaan sindiket penyeludupan rokok dan minum keras tidak bercukai kastam yang dianggarkan berjumlah lebih RM98 juta, berjaya dipatahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kuching Sarawak pada 6 Februari lalu.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, serbuan itu dilakukan hasil risikan bersama Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK).
"Operasi dijalankan bersama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5, Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak dan Polis Kontinjen Sarawak.
"Dalam operasi itu kami menahan lapan lelaki terdiri daripada tujuh rakyat tempatan dan seorang warga asing, selain merampas 40,469,600 batang rokok pelbagai jenis dan 44,716 kotak minuman keras tidak bercukai kastam.
"Selain itu, kami turut merampas sebuah van, sebuah trak angkat susun (forklift) serta lima telefon bimbit. Kesemua rampasan bernilai RM98,793,958.51," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan Akta Imigresen 1959/63.
Beliau berkata, PDRM telah melancarkan 30 serbuan dan operasi tiga operasi iaitu Op Taring Alpha 1, Op Taring Alpha 2, Op Taring Bravo 1 dan Op Bersepadu Khazanah di seluruh negara bagi tempoh 1 Januari lalu hingga semalam.
"Seramai 91 individu ditahan dengan pelbagai barangan tidak bercukai, minyak diesel bersubsidi serta haiwan dan hidupan liar dirampas yang dianggarkan bernilai lebih RM181 juta.
"Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa komited dalam memerangi kegiatan penyeludupan barangan tidak bercukai serta penyelewengan barangan kawalan dan bersubsidi supaya tidak berlakunya ketirisan hasil negara.
"Kerjasama orang ramai dalam menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa amat digalakkan supaya kegiatan jenayah dapat dibanteras sepenuhnya," katanya.